Nama lain: Ginger (Inggeris), Jahe, Aliah, Jae, Lia (Indonesia) Kinkh, Khing-daen (Thailand)
Halia digunakan sebagai rempah perasa dan ubatan. Tanaman ini tergolong dalam kategori ubat-ubatan tradisional Melayu yang dikatakan dapat membantu menghadamkan makanan, menguatkan tenaga batin, menambahkan air mani dan membuang angin yang terdapat di dalam usus kecil dan usus besar.
Ubat-ubatan dari halia juga dikatakan boleh mengawal beberapa penyakit seperti deman, batuk, migrin, sakit gigi, sakit tulang, sengugut dan sesak dada. Halia juga bersifat karminatif, stimulant dan pembunuh kuman jika diambil sebagai ubat.
Halia boleh diproses untuk pengeluaran minyak dan hasil ekstrak. Bahan aktif dalam ekstrak halia ialah gingerols dan oleoresin. Minyak halia boleh dijadikan bahan perisa minuman buah-buahan, konfeksionari, kosmetik dan ubatan.
Halia adalah sejenis tanaman purba. Zingiber ertinya sesuatu yang berbentuk tanduk, ini mungkin ada kaitan dengan bentuk rizom atau umbisinya. Asal usul tanaman halia tidak dapat dipastikan. Ada yang mengatakan tanaman halia berasal dari dataran Asia Tropika, yang merangkumi India hingga ke China.
Rizom halia mengandungi 0.8 hingga 3.3 peratus pati minyak dan lebih kurang 3 peratus oleoresin. Kuantiti ini bergantung kepada klon dan juga umur semasa dituai.
Terdapat juga zat-zat makanan lain seperti vitamin A, B dan C; lemak; protein; asid organik; oleoresin minyak meruap seperti zingeron, zinzerol, zingeberal, zingiberin, borneol, seniol dan feladren.
Secara tradisional halia banyak digunakan untuk menyembuhkan beberapa jenis penyakit seperti kurang nafsu makan, pening, kebas, batuk, kembung perut, tergeliat, bengkak, gatal, muntah, taun, cirit-birit dan lain-lain.
Sebaliknya rizom halia muda digunakan sebagai bahan campuran dalam makanan ringan, minuman dan halua.Halia muda digunakan kerana serabutnya yang lembut dan halus.